Isnin, Februari 02, 2009

Peribahasa Bugis

Peribahasa Bugis

  
 Suku kaum Bugis adalah merupakan salah satu rumpun bangsa Melayu yang terdapat di Malaysia. Suku kaum Bugis lebih tertumpu di kawasan Pantai Timur sabah dan Selatan Semenanjung Malaysia. Suku kaum Bugis ini sebenarnya berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia. Namun, suku kaum bugis telah berhijrah ke Tanah Melayu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi. Suku kaum Bugis juga merupakan antara suku kaum terawal yang datang dan menetap ke Tanah Melayu. Suku kaum Bugis ini berhijrah ke Tanah Melayu telah menetap dan mendirikan institusi kekeluargaan serta melahirkan zuriat dan waris sehinggalah ke generasi sekarang.

 Suku kaum Bugis ini juga seperti masyarakat lain yang mempunyai adat, kepercayaan, tulisan dan bahasa yang tersendiri. Walaubagaimanapun, cara dan kebudayaan masyarakat Bugis tidak jauh bezanya dengan masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Oleh yang demikian, keadaan ini tidak merumitkan masyarakat Bugis untuk bergaul dengan masyarakat Melayu di Tanah Melayu.

 Berikut merupakan beberapa contoh peribahasa Bugis yang berjaya dikumpulkan:
1.Pada idi pada elok,sipatuo si patongkok
- Sehidup semati

2. Anre bajekmu lalopaddoko
- Baru kau tahu

3. Maloppo pacalakna naalirin na
- Besar pengeluaran daripada pendapatan

4. Mattajeng laso arung
- penantian yang sia-sia

5. Tuo na mappada aruk di wiring lareng
- Hidupnya tidak memberi erti kepada orang lain


6. Mappada canggoreng na lupai ulik na
 -Orang yang tidak kenag budi

7. Mappada manuk-manuk na lupai sarang na
- Orang yang lupa daratan

8. Tuo na mappada waye di asek raung aladi 
 - Melakukan kerja yang sia-sia

9. Mappada huleng tepo’e seppulo eppak ompok na
- Orang yang cantik

10. Maksipak lepa-lepa
- Orang yang baik hati

11. Lele bulu tallele abiasa’ang 
- Kalau bukan kita yang berubah sendiri kita tak kan berubah

12. Polo pau polo panni
 -Suka hatimu lah

13. Laing ada laing gauk
- lain yang dia cakap lain yang dia buat

14. Mappada api na ape
- Benda yang cepat habis

15. Matanek pada disoppo maringeng pada di tihi
- Orang yang saling membantu

16. Mappada asu na meong
- orang yang selalu bertengkar

17. Makbura malik
- Orang yang putus asa

18. Tetong pada-pada tanre tudang pada-pada leha
- sama taraf

19. Pada alosi rippolo dua
- orang yang sama padan

20. Luttuk sipakaraja malik siparappe
- sama-sama senag sama-sama susah
 
21. Laing alek laing taneng-taneng
- Lain tempat lain adatnya

22. Malampek limang na
- Orang yang suka mencuri

23. Maloang mata
- Benda yang tersembunyi pun dia dapat nampak

24. Mappada mempek bosi
- Buat kerja yang sia-sia

25. Tedong mate dituju bola na dek na etai,jarum tetdeng dituju bola na tau’e naulle mita’I
- Kesalahan orang lain dia dapat lihat tetapi kesalah sendiri dia tidak nampak

26. Maloppo kabuttu
- orang yang malas

27. Makkianak arung 
 -melahirkan anak yang bertuah

28. Matareng parangkali na
- Hal orang lain pun dia dapat tahu

29. Mappada jukuk na kanuku
- Orang yang sangat rapat

30. Maponcok jokka aje na
- Orang yang susah untuk berhijrah atau jalan jauh

31. Mapitu-pitu
- Orang yang ingin menguasai semua benda

32. Pasampok siri
- orang yang dijadikan sebagai penutup malu

33. Mabela tettek silorongi,makawek sipakaleha
- walaubagaimana pun mereka saling membantu

34. Gemmek pada-pada melotong,ati dek na mapada
 - rambut sama hitam hati lain-lain

35. Mappada asu nagalai nemmpek
 - Orang yang betul-betul ditimpa kesusahan

36. Mappada manuk-manuk dunrung mattajeng huleng madennek
- Menunggu benda yang tidak mungkin ada




Khamis, September 25, 2008

Asal Usul Bugis di Sabah





              Bahasa Bugis sebenarnya berasal daripada Tanah Bugis iaitu kawasan Sulawesi di Pulau Sulawesi, Indonesia. Kedatangan bahaasa Bugis di Malaysia khususnya kawasan negeri Sabah sebenarnya bukan berlaku pada masa yang singkat malah pengaruh bahasa ini telah mula bertapak di negara kita sejak beratus-ratus tahun dahulu. Bukti sejarah telah menunjukkan bahawa masyarakat Bugis telah membina tamadun mereka melalui kepakaran dalam bidang maritim seperti di Johor dan beberapa buah negeri lain di nusantara sehingga masyarakat pada masa itu menggelarkan orang Bugis sebagai pahlawan yang berani, pedagang yang bercaya serta golongan lanun yang suka membuat kacau bilau.
            Pengaruh bahasa Bugis di Sabah khususnya daerah Tawau memang tidak dapat dinafikan. Hal ini kerana pengaruh bahasa dan adat istiadat Bugis bukan sahaja diamalkan oleh masyarakat Bugis, malah pengaruh ini turut menular ke dalam kehidupan harian masyarakat bukan bugis. Fenomena ini menyebabkan ramai memberi andaian bahawa masyarakat Tawau terdiri daripada masyarakat Bugis semata-mata walhal penduduk Tawau turut didiami oleh masyarakat dan suku bangsa lain seperti Bajau, Banjar, Tidong, Bisaya, Kokos, Kadazan-Dusun, dan bangsa-bangsa lain.

          Bahasa Bugis juga dikenali sebagai Bugis, Basa Ugi atau Ugi yang mana bahasa ini dipertuturkan oleh etnik Bugis iaitu seramai 4 juta di Indonesia (terutamanya Sulawesi Selatan) dan Malaysia. Bahasa Bugis tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia. Bahasa Bugis kebiasaannya ditulis menggunakan konsonan Lontara iaitu berdasarkan konsonan Brahmi. Pada hari ini, bahasa Bugis turut ditulis dalam tulisan Rumi. Sebahagian besar masyarakat Bugis adalah penganut agama Islam.

          Lontara merupakan aksara asli bagi masyarakat bugis-makassar. Maka lontara ini bukanlah asimilasi daripada bahasa lain apalagi pengaruh budaya lain, termasuklah budaya India. Bentuk aksara lontara menurut budayawan Indonesia iaitu Prof Mattulada (alm) adalah berasal daripada "sulapa eppa wala suji". Wala suji berasal dari kata wala = pemisah/pagar/penjaga dan suji = putri. Wala Suji adalah sejenis pagar bambu yang digunakan dalam acara ritual yang berbentuk belah ketupat. Sulapa eppa (empat sisi) adalah bentuk mistis kepercayaan Bugis-Makassar klasik yang menyimbolkan dengan susunan semesta iaitu tanah, air, api, dan angin.

            Aksara-akasara lontara dalam bahasa Bugis terdiri daripada 18 konsonan lontara dan satu vokal. Setiap konsonan mempunyai bunyi vokal /a/. Penyatuan antara konsonan bagi skrip ini adalah tidak wujud. Setiap konsonan akan diubah bunyinya dengan penggunaan tanda vokal.
           
            Selain mempunyai sistem fonologi dan fonetik yang agak lengkap, bahasa Bugis turut terkenal dengan bidang kesusasteraannya. Sebagai contoh, “La Galigo” merupakan sebuah epik yang terpanjang di dunia yang mana epik ini telah wujud sebelum kewujudan epik terkenal Sanskrit iaitu Mahabrata. Namun begitu, “La Galigo” tidak boleh dianggap sebagai teks sejarah kerana epik ini penuh dengan mitos dan peristiwa-peristiwa luar biasa yang tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, epik ini adalah gambaran kebudayaan Bugis sebelum abad ke-14.


Khamis, September 18, 2008

Seminar Keris Melayu

Pada 15 dan 16 ogos 2008, satu seminar yang bertajuk Seminar Keris Melayu dalam Warisan Tamadun Dunia telah dijalankan bertempat di Perkampungan Seni, Muara Sungai Duyong, Permatang Pasir, Melaka. Seminar tersebut adalah anjuran Lembaga Bahasa Melayu Melaka (Kerabat Gapena) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Institut Seni Malaysia Melaka dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Sepanjang dua hari seminar tersebut, sebanyak 20 pembentangan kertas kerja berkenaan keris Melayu telah dibentangkan oleh tokoh-tokoh keris dari negara Malaysia, Inonesia, dan Singapura. Pembentangan tersebut meliputi makna dan asal usul keris, adat dan istiadat dalam keris, peranan keris dalam masyarakat Melayu, serta isu dan masalah dalam keris Melayu.

Bersempena dengan seminar ini, penulis bersama-sama 6 orang rakan daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sempat menghadiri seminar tersebut. Mengenal keris sebenarnya seolah-olah seperti mengenal jati diri Melayu yang sememangnya telah lama luput dalam diri penulis dan hampir seluruh rakyat Malaysia yang mengaku diri mereka sebagai Melayu.